There was an error in this gadget

CERITA PUTERI GUNUNG LEDANG

 
      Di atas puncak Gunung Ledang, tinggal seorang tuan puteri yang sangat jelita, dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang. Namun, Puteri Gunung Ledang bukanlah tinggal keseorangan di atas gunung itu. Dia ditemani oleh para dayang yang menjadi teman dan pembantu setianya. Malah, kononnya turut terdapat seorang nenek kebayan tinggal bersama-sama dengan mereka.

     Segelintir penduduk di beberapa buah kampung berhampiran kaki Gunung Ledang sering mendaki gunung itu. Mereka mencari pelbagai jenis hasil hutan di atas gunung itu. Sekali-sekala, mereka terserempak dengan puteri Gunung Ledang. Hal ini demikian kerana Puteri Gunung Ledang sering memberikan pertolongan apabila mereka tersesat jalan atau ditimpa sesuatu kesusahan.

    Oleh yang demikian, nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan dan termasyhur ke mana-mana.

    Sekali, kemasyhuran Puteri Gunung Ledang yang terkenal sangat jelita itu sampai kepada pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang sedang memerintah di negeri Melaka. Timbullah hasrat dalam hati baginda untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya.

    Sultan Mahmud Syah lalu memaklumkan hasratnya itu kepada sekalian pembesarnya. Terkejutlah para pembesar baginda apabila mendengar kata-kata itu. Namun, masing-masing hanya berdiam diri kerana tidak berani menegur kehendak Sultan Mahmud. Malahan, Datuk Bendahara juga tidak  berani bersuara apa-apa."Bukanlah mudah untuk mencari Puteri Gunung Ledang itu kerana bukan semua orang bertuah dapat bertemu dengannya," fikir  Datuk Bendahara dalam hatinya.